ANGKARA PPSMI DATANG LAGI!
PPSMI…
Pembelajaran matapelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Bagus atau tidak? Sewaktu pertama kali program ini diperkenalkan, rasanya fb belum wujud. Atau mungkin ada tapi belum begitu popular. Aku ingat aku berperang dengan cytro Umno dalam Yahoogroup. Berantai-rantai email.
Ada sesetengah cytro yamg menuduh aku menentang kerana aku tak pandai berbahasa Inggeris. Ya, memang aku akui aku memang tak pandai berbahasa Inggeris. Tapi Alhamdulillah, kalau aku bercakap dengan orang putih, dapatlah mereka fahami.
Boss aku pun ada ramai mat saleh. Dan Alhamdulillah, aku pernah 2 kali ke Houston. Walaupun tak pandai berbahasa Inggeris, tetap dapat juga aku hadiri kursus, berjalan-jalan di sana dan kemudiannya pulang. Tak sesat pun.
Sebenarnya Bahasa Inggeris ini penting. Bahasa industri. Bahasa ilmu. Aku ingat masa aku belajar dulu, kena guna buku Teknologi Penggerudian, buku yang diterjemah dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia. Nak pecah otak aku cuba fahamkan. Lebih senang faham buku versi English.
Dan hari ini, urusan kerja aku hampir 100% Bahasa Inggeris. Dari manual, prosedur kerja hingga ke mesyuarat dan email. Bukan kerana mengagungkan Bahasa Inggeris tetapi kerana bahasa ini adalah bahasa global. Bahasa yang difahami ramai.
Pun begitu, untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk matapelajaran Sains dan Matematik buat masa ini, bukan langkah yang bijak bagi aku. Kenapa?
Kita boleh jadikan PPSMI satu kenyataan apabila kita punyai tenaga pelatih yang mencukupi. Maksud aku, guru-guru yang mengajar matapelajaran ini perlu menguasai dan fasih berbahasa Inggeris dahulu barulah program ini boleh dimulakan.
Bayangkan keadaan guru yang “i don’t know sepatah haram” perlu mengajar dalam bahasa yang dia sendiri huru hara. Bukan setakat sang guru itu struggle, anak murid juga jadi semakin pening untuk memahami apa yang diajar oleh sang guru.
Jika betul kerajaan atau Mahathir mahu laksanakan ini, langkah pertama yang perlu diambil adalah dengan menyediakan guru-guru kedua subjek ini agar fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris.
Langkah kedua, dengan meletakkan A dalam matapelajaran Inggeris sebagai prasyarat bagi permohonan masuk ke institut/universiti perguruan untuk mereka yang mahu mengajar matapelajaran Sains dan Matematik.
Langkah ketiga, anak-anak juga perlu dipersiapkan. Mungkin dari sekolah tadika. Atau laksanakan di peringkat sekolah menengah jadi anak-anak boleh dilatih berbahasa Inggeris di sekolah rendah.
Tapi perlu diakui, mereka yang dapat A dalam Bahasa Inggeris biasanya tak mahu untuk menjadi guru, melainkan kerana minat. Kemahiran Inggeris mereka memungkinkan mereka dapat kerja lain yang kurang stress tapi bergaji lebih lumayan.
Boleh kalau mahu laksanakan tapi bukan sekarang. Langkah pertama boleh dimulakan sekarang tapi perlaksanaannya mungkin dalam masa 5 hingga 10 tahun akan datang. Barulah keberkesanan program ini dapat dilihat.
Tapi kan… Ramai orang yang fasih berbahasa Inggeris hari ini, yang handal dalam subjek fizik, kimia dan matematik hari ini, belajar subjek sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia ketika sekolah dahulu. Maksudnya, penggunaan Bahasa Malaysia tak menghalang seseorang itu jadi pakar.
Entahlah apa yang ada di fikiran Mahathir. Secara jelasnya, PPSMI akan menjadi senjata pembangkang dan akan melemahkan PH. Secara politiknya, langkah ini adalah janggal dan tidak tepat. Lagi ia dibuat tatkala sentimen kemelayuan begitu ganas di persada politik tanahair.
Bagi yang pernah ikuti aku dari zaman Yahoogroup dulu, pasti korang sedar pendirian aku tetap konsisten. Sekarang mari kita lihat pendirian ahli politik kita yang kini bergelar menteri. Masih konsisten atau telurnya sudah kecut…